Daripada Abu Umamah Iyas bin Sta’labah al-Haristi
radhiallahu anhu, bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam
bersabda : “Sesiapa yang mengambil hak milik seseorang Islam dengan sumpahnya,
(mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah Subhana Wa Ta'ala telah
mewajibkan neraka baginya dan telah mengharamkan syurga untuk dimasukinya.
Kemudian ada seorang lelaki yang bertanya : “Kalau hanya barang yang sangat
sedikit, Ya Rasulullah? Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menjawab, walaupun
hanya setangkai kayu arak (kayu yang digunakan untuk bersiwak)”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain riwayat daripada Umar bin
Khattab radhiallahu anhu beliau berkata :
“Setelah selesai peperangan Khaibar ada segolongan di
antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam datang menghadap kepada
beliau, kemudian mereka berkata : “Si Fulan itu mati syahid, dan si Fulan itu
mati syahid”, sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seorang laki-laki lalu
mereka berkata “Si Fulan itu juga mati syahid”. Lalu Nabi sallallahu 'alaihi
wasallam bersabda : “Tidak, sama sekali tidak. Fulan itu saya lihat dimasukkan
ke dalam api neraka kerana menyembunyikan sehelai selendang atau (syak perawi
hadis) sehelai baju kurung (daripada harta rampasan)
(Hadis Riwayat Muslim)
Islam melarang sesiapa sahaja daripada mengambil hak
milik orang lain tanpa kebenaran daripada tuan yang memiliki harta tersebut.
Islam sangat menghargai hak milik peribadi seseorang. Maka sesiapa yang
mengambil hak milik orang lain hendaklah ia segera menyerahkan kembali kepada
pemiliknya walaupun benda itu hanya sedikit sahaja. Seseorang boleh dimasukkan
ke dalam api neraka akibat dari mengambil sebatang kayu miswak sahaja, iaitu
apabila ia menganggap ringan hal itu dan mati dalam keadaan tidak sempat untuk
meminta halal dari tuan punya barang tersebut.
Oleh itu hendaklah kita berhati-hati kalau kita
bermu’amalah dengan orang lain, dan hendaklah kita menjauhi harta-harta yang
haram dan jangan melakukan sebarang kezaliman terhadap hak milik orang lain
kerana yang demikian itu boleh membawa kebinasaan yang sangat besar sekali.
Kemudian masalah menggelapkan harta sesuatu kumpulan,
jemaah, pertubuhan atau Negara atau yang diistilahkan pada masa sekarang ini
dengan perkataan “korupsi” adalah suatu amalan yang terkutuk dan dosa yang
tersangat besar, sekalipun yang digelapkan itu hanya bernilai seharga selembar
baju sahaja. Hadis di atas adalah merupakan suatu amaran yang keras sekali dan
peringatan yang tegas agar seseorang jangan berbuat khianat terhadap hak milik
orang ramai yang diamanahkan ke atasnya. Tindakan keras itu akan diambil
sekalipun ke atas seseorang yang telah gugur di medan perang dengan badan yang
berlumuran darah, yang telah mempertaruhkan nyawanya sebagai tanda kesetiaaan
kepada perjuangan, apatah lagi kalau ia hanya seorang perkerja pegawai biasa
yang tidaklah begitu bermakna bagi perkhidmatan atau pengorbanan yang
diberikannya.
Petikan dari :
Kitab : 40 Hadis Penawar Hati
Susunan :Abu Ali Al Banjari An Nadwi
No comments:
Post a Comment