Pages

Sunday, January 11, 2015

Hikmah Solat Subuh - Disaksikan Oleh Malaikat

Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengagungkan waktu subuh dengan menjadikannya sebagai sumpah dalam Al-Quran. Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyatakan dalam surah Al-Fajr, ayat 1 hingga ayat 5 yang bermaksud, "Demi waktu fajar, dan malam kesepuluh, iaitu malam yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan bilangan yang genap serta yang ganjil, dan malam apabila ia berlalu. Bukankah yang demikian itu terdapat sumpah yang dapat diterima oleh orang yang berakal sempurna?"

Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga mengutamakan solat subuh dengan menyebutnya secara khusus berbanding solat-solat yang lain, seperti dalam surah Al-Israk, ayat 78 yang bermaksud, "Dirikanlah solat selepas gelincir matahari hingga gelap malam dan solat subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan oleh para malaikat."

Ini adalah keutamaan yang disebutkan dalam Al-Quran, iaitu solat subuh disaksikan oleh para malaikat. Bukan sembarangan makhluk yang menyaksikan, tetapi malaikat, iaitu hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang mulia.

Saturday, January 3, 2015

Soalan Umum Ilmu Hadis - Bukankah Al-Quran Sudah Cukup?

Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyebut dalam al-Quran, Surah al-An'am ayat 38. "Kami tidak tinggalkan suatu apa pun dalam Kitab." Bukankah ayat al-Quran ini menyebut bahawa kitab al-Quran sudah sempurna? Jadi, kenapa perlu berpegang pada hadis?

Kenyataan di atas adalah antara soalan yang sentiasa diajukan. Ia timbul bersama-sama seruan kembali kepada al-Quran. Kembali kepada al-Quran dengan cara meninggalkan hadis. Melihatkan kepada akibatnya, penulis rasa ia patut didahulukan berbanding kemusykilan yang lain. Berikut jawapan bagi kemusykilan di atas.

Pertama, penulis ingin menyentuh terus ayat al-Quran yang menjadi sandaran kepada kemusykilan di atas. Perkataan 'Kitab' dalam al-Quran di atas mempunyai dua maksud. Maksud pertama, luh mahfuz. Manakala maksud kedua adalah al-Quran.