Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah
Bulan November 2008 ini genaplah dua tahun laporan muka utama sebuah akhbar perdana tempatan yang berjudul “Fahaman Wahabi Menular”. Kebanyakan kenyataan dalam laporan tersebut adalah tidak tepat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh sahabat saya, Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus dalam bukunya Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan Yang Ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006. Namun ada dua kenyataan yang boleh dikatakan tepat:
• Pertama: Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman Wahabi sedang menular. Ini tepat, bahkan yang lebih jitu adalah fahaman Wahabi memang sungguh-sungguh sedang menular. Ia seumpama arus tsunami yang menenggelamkan pelbagai fahaman, pengaruh, jamaah dan aliran lain yang ada di Malaysia.
• Kedua: Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman Wahabi mendapat tempat di kalangan cerdik pandai umat Islam. Ini tepat, tetapi realiti masa kini membuktikan bahawa fahaman Wahabi juga sudah mendapat tempat di kalangan mereka yang berada dalam pelbagai lapisan dan latarbelakang.