Pada awal bulan Ramadhan, saya
sering melihat fenomena yang menggembirakan. Masjid-masjid penuh dengan
jemaah termasuk pada waktu solat subuh. Namun, perasaan gembira itu
berganti sedih yang mendalam seiring berlalunya Ramadhan. Saya pernah
menghitung sendiri perbandingan jumlah jemaah pada dua waktu itu. Pada
awal Ramadhan, jumlah jemaah solat subuh di masjid dekat rumah penulis
mencapai 200 orang. Namun, selepas bulan puasa jemaah solat subuhnya
tidak lebih daripada 50 orang.
Saya
bingung dan tertanya-tanya dalam hati, ke mana 150 orang yang lain?
Tidak mungkin mereka semua pergi bermusafir. Tidak mungkin mereka semua
sakit. Tidak mungkin semuanya uzur. Benar, rasa ingin tahu dalam hati
saya terjawab pada suatu pagi. Sebenarnya, mereka bangun selepas jemaah
subuh selesai. Malah, ada yang baru bangun beberapa minit sebelum
matahari terbit. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun. Ini adalah musibah
besar yang menimpa majoriti umat Islam.
Padahal,
apabila orang Islam itu membaca Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah
sallallahu 'alaihi wasallam, dia dapat mengetahui perihal solat subuh
yang begitu tinggi nilainya. Ternyata, pahala dua rakaat solat sunat
sebelum subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya. Jadi, bagaimana
dengan pahala solat subuh itu sendiri?
Allah
Subhanahu Wa Ta'ala mengetahui perihal waktu subuh adalah waktu yang
sukar. Sekiranya orang Islam dibiarkan begitu sahaja, tentu dia memilih
bagi merehatkan badannya dan meninggalkan solat subuh. Oleh itu, Allah
Subhanahu Wa Ta'ala memberi banyak keistimewaan kepada subuh yang tidak
dimiliki oleh solat fardhu lain. Keistimewaan itu mendorong setiap
mukmin yang jujur bagi melaksanakan solat subuh secara berjemaah seboleh
mungkin. Dia rela mengorbankan apa-apa sahaja yang dimilikinya bagi
mendapatkan keistimewaan itu, meskipun terpaksa merangkak.
Itulah
yang difahami dan diamalkan oleh para sahabat Rasulullah sallallahu
'alaihi wasallam. Perhatikan kisah Umar bin al-Khattab tidak menemui
Sulaiman bin Hatsmah. Kemudian, beliau pergi ke rumah Sulaiman bin
Hatsmah dan menanyakan kepada ibunya sebab-sebab beliau tiada ketika
solat subuh. Ibunya mengatakan, beliau solat tahajud lalu tertidur pada
pagi harinya. Umar bin Al-Khattab kemudian berkata, "Sesungguhnya, solat
subuh berjemaah itu lebih baik bagi saya dariapada solat malam."
Perhatikan
pula kisah Khalid bin Walid. Beliau tidak keluar berperang kecuali
selepas solat subuh. Perkara itu dilakukannya supaya tidak tertinggal
solat subuh. Berikut adalah kelebihan-kelebihan solat subuh yang besar
maknanya dalam hidup umat Islam, sama ada individu mahupun masyarakat.
- Disaksikan oleh Malaikat
- Dimurahkan Rezeki
- Mendapat Perlindungan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala
- Solat Subuh Sama Nilainya dengan Solat Tahajud Sepanjang Malam
- Sumber Cahaya pada Hari Kiamat
- Antara Sebab Masuk ke Syurga
- Dapat Melihat Allah Subhanahu Wa Ta'ala
- Menyelamatkan Kita daripada Seksa Neraka
- Lebih Baik daripada Dunia dan Seisinya
- Pengukur Tahap Keimanan
- Media Pendidikan bagi Umat
- Media Memperbaharu Iman
- Solat Subuh adalah Istimewa
Petikan dari.....
Kitab : Ajaibnya Solat Subuh
Penulis : Fahrur Mu'is
Terbitan : PTS Millennia Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment