Pages

Sunday, July 21, 2013

Hadis - Tawaran Istimewa Yang Kekurangan Pelanggan

Erti Hadis : 
Daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : "Seandainya orang ramai mengetahui betapa besar pahala azan dan menepati saf pertama (di masa sembahyang berjama'ah), kemudian mereka tidak menemukan jalan untuk memperolehinya melainkan dengan membuat undi (atau giliran) nescaya mereka akan berbuat demikian. Juga seandainya mereka mengetahui betapa besarnya pahala bersegera (pergi ke masjid) untuk melakukan sembahnyang berjama'ah, nescaya mereka berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Demikian pula seandainya mereka mengetahui betapa besar pahala sembahyang isyak dan subuh dengan berjama'ah, nescaya mereka akan datang untuk menghadirinya sekalipun mereka terpaksa berjalan dengan merangkak-rangka".
 (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadis :
Azan, menepati saf pertama, bersegera pergi ke masjid dan mengerjakan sembahyang Isyak dan Subuh dalam berjama'ah adalah diantara amalan yang akan diberikan pahala yang amat besar sekali pada hari qiamat nanti. Kalau orang ramai mengetahui nilai ganjaran terhadap amalan-amalan ini dan diperlihatkan kepada mereka seperti gaji yang diterima pada setiap hujung bulan, mereka mesti akan berusaha sedaya upaya untuk merebutnya, bahkan mereka terpaksa membuat giliran untuk membuat agihan kepada oarang-orang yang ingin mendapatkan peluang itu.

Namun kenyataannya bukan demikian. Banyak orang yang tolak menolak dalam melaksanakan amalan-amalan ini. Terkadang kalau ternampak saf pertama atau saf hadapan itu kosong, yang seorang mempersilakan orang lain untuk memasukinya dan yang lain pun begitu pula. Padahal dalam masalah seperti ini makruh mendahulukan orang lain.Peluang itu mesti kita rebut dan jangan diabaikan. Tetapi sebaliknya ada pula orang yang kalau makan bersama-sama, ia tidak berkenan mempersilakan orang lain untuk mendapatkan habuan yang lebih banyak daripadanya, padahal dalam keadaan seperti ini kita sangat disuruh untuk melebihkan dan mendahulukan orang lain.

Amalan-amalan yang disebutkan dalam hadis di atas ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan kesempurnaan sembahyang yang merupakan tiang kepada agama kita dan berkaitan dengan sembahyang berjama'ah yang merupakan syi'ar bagi kaum Muslimin. Oleh itu amalan-amalan ini sangat perlu untuk diperkemaskan dan disempurnakan. Kalau dizaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak ada orang yang ketinggalan dari menghadiri sembahyang berjama'ah selain daripada oarang-orang munafiq atau orang-orang Islam yang mempunyai keuzuzran yang ketara sekali, bahkan ada di antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang terpaksa dipimpin oleh dua orang anaknya untuk dapat hadir sembahyang berjama'ah, tetapi di hari ini banyak masjid-masjid kosong dari sembahyang berjama'ah dan banyak pula masjid-masjid yang hanya dihadiri oleh orang-orang tua atau pegawai-pegawai yang sudah pencen sahaja dan banyak pula masjid yang tidak sampai satu saf orang hadir sembahyang berjama'ah di dalamnya. Maka dari kerana itu marilah kita bersama menegakkan syi'ar umat Islam ini dan InsyaAllah dengan itu kita akan dikurniakan kemenangan yang pernah diberikan kepda generasi dahulu.


Petikan dari :
Kitab : 40 Hadis Penawar Hati
Susunan : Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi

No comments:

Post a Comment