Pages

Sunday, January 11, 2015

Hikmah Solat Subuh - Disaksikan Oleh Malaikat

Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengagungkan waktu subuh dengan menjadikannya sebagai sumpah dalam Al-Quran. Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyatakan dalam surah Al-Fajr, ayat 1 hingga ayat 5 yang bermaksud, "Demi waktu fajar, dan malam kesepuluh, iaitu malam yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan bilangan yang genap serta yang ganjil, dan malam apabila ia berlalu. Bukankah yang demikian itu terdapat sumpah yang dapat diterima oleh orang yang berakal sempurna?"

Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga mengutamakan solat subuh dengan menyebutnya secara khusus berbanding solat-solat yang lain, seperti dalam surah Al-Israk, ayat 78 yang bermaksud, "Dirikanlah solat selepas gelincir matahari hingga gelap malam dan solat subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan oleh para malaikat."

Ini adalah keutamaan yang disebutkan dalam Al-Quran, iaitu solat subuh disaksikan oleh para malaikat. Bukan sembarangan makhluk yang menyaksikan, tetapi malaikat, iaitu hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang mulia.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga memberi keistimewaan kepada solat subuh dengan menjadikanya sebagai waktu pertemuan para malaikat, iaitu penjaga pada waktu malam dan siang.

Abu Hurairah radiallahu 'anhum melaporkan, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyatakan, "Solat berjemaah lebih utama daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh lima kali ganda. Malaikat penjaga malam dan siang berkumpul pada waktu solat subuh. Sekiranya engkau mahu, bacalah, Inna qur'anal fajri kana masyhuda." Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari.

Dalam hadith lain, dijelaskan perihal para malaikat penjaga malam terus naik ke langit selepas menyaksikan solat subuh.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyatakan, "Kemudian naiklah para malaikat yang menyertai kamu pada malam harinya, lalu Tuhan bertanya kepada mereka padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka, Bagaimana keadaan para hamba-Ku ketika kalian tinggalkan mereka? Mereka menjawab, Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami temui mereka dalam keadaan solat juga." Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengagungkan orang yang konsisten memelihara solat subuh di hadapan malaikatNya. Allah Subhanahu Wa Ta'ala meminta kesaksian mereka perihal anak Adam yang berbuat baik. Ini sekaligus menjadi jawapan kepada pertanyaan mereka yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud, "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat, Aku hendak menjadikan khalifah di bumi. Mereka bertanya, Adakah Engkau mahu menjadikan khalifah di bumi itu orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa menyucikan Mu? Tuhan berkata, Sesungguhnya aku mengetahui perkara yang tidak kamu ketahui."

Ertinya, ada antara manusia itu yang bertasbih dan menyucikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti para malaikat, berdasarkan apa yang mereka saksikan sendiri. Beruntung orang yang diberitakan oleh malaikat seperti ini, "Kami menemukan si fulan sedang melaksanakan solat subuh berjemaah." Sebaliknya, alangkah rugi orang yang diberitakan oleh malaikat seperti ini, "Kami menemukan si fulan sedang tidur lena dalam tidurnya, solat subuh bukan menjadi keutamaanya, dan dia kurang peduli perihal solat."

Keadaan yang mana satu menjadi pilihan kita? Solat subuh dengan disaksikan oleh para malaikat ataupun tertidur lalu dikencingi oleh syaitan? Pilihan di tangan kita.

-------------------------------------------------------------------------------

Petikan dari.....
Kitab : Ajaibnya Solat Subuh
Penulis : Fahrur Mu'is
Terbitan : PTS Millennia Sdn Bhd 

1 comment:

  1. 17:78. Lakukan solat dari terbenam matahari hingga kegelapan malam, dan bacaan (qur'an) fajar; sesungguhnya bacaan fajar disaksikan.

    Berbeza terjemahaan yang saya baca dengan yang disiarkan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

    ReplyDelete